Sunday, February 27, 2011

Aku dan Rotan..


Bab rotan-merotan di sekolah sering menjadi tajuk paling panas dan dah ada yang jadi kes serius. Sampai satu tahap dah boleh jadi kes polis.

Aku sendiri masa sekolah dulu, dah kena hentam dengan batang paip, dah pernah kena pembaris panjang warna kuning tu oleh cikgu-cikgu sekolah aku tu. Memang ada kalanya memang salah aku tapi ada juga memang totally bukan salah aku. Tapi aku reda ajelah. Aku kan lelaki. Kena tahan beb. Setakat kena rotan kat tangan, punggung dan badan. Memang mula-mula aku tak tahan. Tapi aku lagi tak tahan, kalau berita aku kena rotan kat sekolah mak abah aku tahu. Nescaya, aku akan kena rotan lagi teruk lagi. Abah aku tahu, kalau aku kena rotan, itu tandanya memang aku cari pasal kat sekolah. Dia tak kisah anak dia kena rotan, janji anak dia berguna satu hari nanti.

Memang aku pun trauma gak. Tapi tak adalah sampai tak nak datang sekolah. Itu lagi teruk. Abah aku pantang aku tak pergi sekolah. Demam pun kena pergi. Sebab kalau aku duduk rumah, memang tak ada sape nak jaga. Abah dan mak aku kerja. Petang baru ada kat rumah. Jadi, pergi sekolah tu wajib bagi aku.

Setakat berbekas kat badan dan kaki, aku dah biasa. Sekarang, bekas-bekas tu pun dah tak ada Dah hilang. Sebab tu, bila aku jadi cikgu, memang aku rotan pelajar. Tapi aku control juga. Tidak terlalu kuat, tidak juga terlalu perlahan. Sebab pelajar-pelajar sekarang, kalau kita tak didik dari kecil, masa dah besar nanti, masa dah masuk sekolah menengah, perangai kurang ajarnya akan menjadi-jadi. Masa itulah nanti ada mak bapak budak salahkan pelajar kalau anaknya kena rotan, kalau anaknya ponteng sekolah, kalau anaknya fail dalam exam. Semua salah cikgu. Pernah kan jadi macam ni kat sekolah korang? Betul tak cikgu-cikgu sekalian? Sebab tu, dari sekolah rendah lagi, disiplin tu cikgu-cikgu akan terapkan pada pelajar. Bukan apa, demi masa depan pelajar-pelajar juga.

Dipetik dari Blog Oh Cikgu.com

Sejarah Pendidikan Guru

Aku rasa mungkin cikgu-cikgu atau para pembaca harus tahu tentang sejarah bermulanya IPG yang ada sekarang .

Institut Pendidikan Guru merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang melatih bakal-bakal guru sekolah rendah dan menengah. Di Malaysia, semua Institut Pendidikan Guru (IPG) ini dikelolakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Jabatan Sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Namun demikian, institusi ini masih menggunakan nama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan telah mempunyai IPG induknya tersendiri iaitu IPGM.

Sejarah pendidikan guru di tanah air bermula dengan penubuhan institusi berikut;

1. 1878 – The Malay High School, Singapura. Waktu ni, aku pun tak lahir lagi. Tapi memang antara sekolah yang cukup Top. Siapa yang belajar kat sini, memang orang kagum punya. Awek-awek mesti cair punya kalau kita kata kita belajar kat ini..

2. 1922 – Sultan Idris Training College, Tanjung Malim – melatih guru-guru Sekolah Melayu. Kini, maktab perguruan ini telah bertukar kepada Universiti Perguruan Sultan Idris atau lebih dikenali dengan singkatan UPSI. Sekolah ni memang lama. Sampailah hari ini masih ada. Sampai nak masuk UPSI sekarang, pointer masa matrikulasi kena tiptop. Setakat 2.5 ~ 2.8? Tak payahlah..

3. 1935 – Women Teachers’ Training College, Melaka : maktab ini telah melatih guru-guru perempuan terutamanya dalam bidang Sains Rumah Tangga. Kini, maktab perguruan ini telah ditukar kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Ini untuk perempuan sahaja. Lelaki, boleh blah..

4. 1951 – Malayan Teachers’ Training College, Kirkby, Liverpool, England : Kerajaan Malaysia (Malaya) telah mengambil alih sebuah pusat latihan guru British untuk melatih guru Tanah Melayu di England dengan hasrat untuk melahirkan tenaga pengajar tempatan yang mantap dari segi latihan guru dan fasih berbahasa Inggeris. Maktab ini telah ditutup pada tahun 1962 apabila kerajaan Britain mengambil semula tapak maktab ini kini ia merupakan kawasan perumahan dan pusat komersial. Maktab ini telah melatih 1500 guru antara 1952 hingga 1962. Salah satu peristiwa bersejarah yang berlaku di tempat ini adalah peristiwa pengisytiharan kemerdekaan Malaya oleh Y.A.M Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

5. 1955 – Malaysian Teacher Training College (MTT), Brinsford Lodge,Wolverhampton, England : Bekas sebuah kilang di Britain ini pernah menjadi sebuah kolej latihan untuk guru Malaysia pada 1955 hingga 1964. Pusat latihan perguruan ini telah melatih 300 guru dalam pelbagai matapelajaran.

Okeh, jum naik semula mesin masa ke tahun 2011. Fuhh, itulah dia beberapa institusi pengajian yang ada dan berkaitan dengan Malaysia. Memang ramai yang tak tahu langsung tentang sejarah IPG ni.

Sumber: Portal Rasmi KPM

Saturday, February 26, 2011

Cabaran Awal Tahun....




SMM, SEGAK,JSI,PBS,ULBS,PEKA,SAP,SSDM,SKPM,....dan berbagai lagi tugasan menanti guru-guru....Semua itu perlu diurus selia dengan sebaiknya. Dari situlah SKT guru ditentukan..dan ia bukannya mudah kerana setiap guru mempunyai kelebihan masing-masing.Oleh itu, jika tidak diberi APC oleh pentadbir sekolah,berusahalah lebih gigih kerana jika kita ikhlas,Allah tetap akan memberi anugerah dan rezeki dalam bentuk yang lain...

Friday, February 25, 2011

TIADA YANG REMEH JIKA MELIBATKAN KESELAMATAN PELAJAR


Ambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah - maksudnya adakah pihak sekolah terutama pengetuanya telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang mencukupi, memadai dan dapat difahami dengan jelas oleh semua warga sekolah dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan di sekolah.

Ini diukur daripada sejauh manakah kesungguhan dan kekerapan pihak sekolah mewar-warkan aspek keselamatan di sekolah kepada pelajar-pelajarnya; memberi peringatan atau pemberitahuan melalui dokumen tertentu seperti surat rasmi kepada ibu bapa, notis-notis yang dilekatkan di papan kenyataan, pengumuman-pengumuman; menandakan atau melabelkan kawasan yang berbahaya dan dijangka boleh membahayakan di dalam kawasan sekolah dengan label yang khas dan boleh dilihat; mengelakkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pelajar seperti mencantas ranting dan dahan pokok yang condong dan reput; membuang semua ranting dan dahan pokok yang kering; menebang pokok yang condong; memilih jenis simen/jubin yang kesat; mengesan kerosakan pada peralatan elektrik dan premis bangunan dan memperbaikinya dengan segera.

Jika anda sebagai guru subjek pula, anda hendaklah memastikan murid-murid diberi arahan yang mencukupi dan arahan itu pula dapat difahami sebelum sesuatu aktiviti dilakukan sama ada di dalam kelas atau di luar kelas. Begitu juga sebelum sesuatu aktiviti kokurikulum dijalankan sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah seperti mengadakan lawatan dan rombongan; arahan yang mencukupi, surat kebenaran yang ditandatangani oleh ibu bapa, peralatan keselamatan yang sesuai dan guru yang memantau mesti diberi perhatian. Guru-guru hendaklah sentiasa diingatkan tentang aspek keselamatan ini dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh mereka.

Pengetua hendaklah sentiasa mengingatkan guru-guru bahawa sesuatu yang dianggap remeh sebelumnya dan tidak boleh dijangka boleh sahaja berlaku. Tiadasuatu pun yang mustahil jika ia membabitkan keselamatan pelajar. Sebagai contoh meja dan kerusi pada asalnya bukan item yang membahayakan, tetapi jika kaki meja dan kerusi itu reput, itu memang membahayakan.Sebab itu aspek keselamatan pelajar tidak boleh dianggap kecil. Sebagai contoh jika berlaku pergaduhan atau kecederaan murid dalam kelas yang anda tinggalkan hanya dalam tempoh seminit dua, anda sebagai guru subjek pada waktu itu boleh disabitkan kesalahan jika ada dakwaan terhadap anda jika tidak diambil langkah-langkah pencegahan sebelum itu seperti meminta bantuan guru di kelas sebelah memantau kelas sementara ketiadaan anda, dan anda sendiri telah memaklumkan murid-murid anda bahawa anda hendak ke luar (sebut destinasi sebenar anda) dan memberi arahan, nasihat dan kerja yang mencukupi.

Apa yang saya utarakan di sini hanyalah sebahagian contoh tindakan pencegahan yang munasabah yang boleh diambil oleh para guru. Masih banyak lagi tindakan yang perlu diambil dan ini hanya boleh diketahui apabila seseorang guru itu berusaha menjangka apakah yang akan berlaku.Maksudnya di sini sebahagian kerja Pengetua dan guru adalah menjangka atau meramal apa yang akan berlaku daripada sesuatu tindakanyang dilakukan.
Dipetik dari Blog Cikgu Bashid

Friday, February 18, 2011

KEKASIH ..OH KEKASIH...

KEMPEN KANTINKU BERSIH ( KEKASIH )

Objektif:
Memupuk sikap menjaga kebersihan kantin sekolah

Sumber KEKASIH :

1. Pengawas Sekolah
2. Guru Pengawas
3. Guru Bertugas Mingguan
4. Guru Kelas Menunggu
5. Guru Disipin
6. Kaunselor sekolah
7. Pengusaha Kantin

Perlaksanaan KEKASIH :
1. Guru Kaunselor memberi taklimat kepada pelajar.
2. 5 Minit sebelum rehat , pengawas sekolah bertugas di kantin
3. Guru Bertugas membantu pengawas sekolah memantau waktu rehat dan mengambil tindakan yang bersesuaiakan berdasarkan situasi
4. Guru Kelas Menunggu mengawasi kebersihan dan menyelaras kebersihan di kantin
5. Guru Disiplin - meminta pelajar membersihkan kaw kantin sebagai antara pilihan yang ada untuk memberi keinsafan/mendisiplin pelajar
6. Pengusaha Kantin menyediakan alatan / tong & plastik sampah yang mencukupi dan bersesuaian.

Friday, February 11, 2011

KAEDAH SOAL JAWAB DALAM P&P SEJARAH

KAEDAH SOAL JAWAB DALAM P&P SEJARAH

Teknik penyoalan merupakan sautu teknik yang biasa dan kadang-kadang menjadi dominan dalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Kajian menunjukkan terdapat perhubungan positif yang signifikan antara penyoalan guru dengan pencapaian pelajar. Tujuan penyoalan semasa P&P ialah :
  • Menjadikan murid aktif
  • Membangkitkan minat dan tumpuan murid
  • Memperkembangkan isi pelajaran
  • Meningkatakan perkembangan daya pemikiran murid
  • Menilai kefahaman murid berkenaan isi pelajaran serta kemajuan murid

Penerangan oleh guru & pelajar menjawab


GAMBAR-GAMBAR MENUNJUKKAN AKSI PELAJAR SEMASA PENCERAPAN OLEH KP SEJARAH DI KELAS 3E. GURU SEJARAH MENGGUNAKAN KAEDAH SOAL JAWAB UNTUK MENCUNGKIL PENGETAHUAN PELAJAR. SELAIN ITU, GURU TELAH MELUKIS PETA MINDA DI PAPAN HITAM UNTUK MENGGALAKKAN PELAJAR MENJAWAB SOALAN YANG DIKEMUKAKANNYA. BAHAN BANTU MENGAJAR YANG DIGUNAKAN OLEH GURU IALAH MODUL SEJARAH. TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PELAJAR 3E YANG TELAH MENUNJUKKAN MINAT DALAM MATA PELAJARAN SEJARAH DAN MEMBERI KERJASAMA SEPENUHNYA KEPADA GURU.

Pelajar menjawab soalan dalam modul sejarah

SELAMAT MAJU JAYA
P&P MENJANA 1MALAYSIA

PEMBELAJARAN KOPERATIF DAN KOLABORATIF

PEMBELAJARAN KOPERATIF DAN KOLABORATIF

Koperatif bermaksud bekerja bersama-sama bagi mencapai sesuatu objektif yang ditetapkan bersama. Di dalam pembelajaran koperatif, pelajar berinteraksi dan saling bantu-membantu dalam aktiviti pembelajaran dengan tujuan mencapai kemajuan dan prestasi yang cemerlang. Kaedah kolaboratif ialah melibatkan sekumpulan pelajar yang berusaha bersama ke arah mencapai prestasi dan matlamat yang sama. Dengan kata lain, pembelajaran koperatif dan kolaboratif dapat membantu guru meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Kelebihan kaedah koperatif di dalam bilik darjah :

  • Mewujudkan semangat saling bergantung antara satu sama lain dalam kumpulan.
  • Menjalankan aktiviti pembelajaran secara bersemuka
  • Setiap ahli kumpulan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi kepada kumpulan masing-masing.
  • Mengajar kemahiran interpersonal kepada pelajar.
  • Pemprosesan kumpulan
kaedah pembelajaran ini memerlukan perancangan awal oleh guru seperti :
  1. Bahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan (tidak melebih 5 orang satu kumpulan)
  2. Rancangkan tajuk untuk setiap kumpulan dan sesuaikan dengan objektif pengajaran.
  3. Sediakan alatulis yang sesuai untuk aktiviti kumpulan.
  4. Sediakan peraturan yang jelas untuk aktiviti kumpulan.
  5. Pengurusan masa yang baik. Sesuai untuk dua waktu atau tiga waktu pengajaran sejarah.
Berikut merupakan aktiviti kumpulan dalam pengajaran & pembelajaran sejarah di Tingkatan empat. Para pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam perbincangan untuk menjawab soalan guru walaupun ahli kumpulan dibentuk oleh guru. (Pelbagai kaum dalam satu kumpulan)
Para pelajar berbincang selepas mendapat soalan daripada guru

Pelajar perlu memikir cara yang kreatif dan inovatif untuk menjawab soalan guru


Para pelajar perlu bekerja sama dan membina persefahaman antara satu sama lain

Perbincangan antara pelajar dalam kumpulan telah mengambil masa dua waktu pengajaran sejarah. Oleh itu, pembentangan kumpulan telah dibentangkan pada waktu lain. Para pelajar telah menunjukkan hasil jawapan masing-masing di atas kertas dengan cara yang paling kreatif dan inovatif. Setiap pelajar perlu melibatkan diri semasa pembentangan hasil jawapan mereka. Cara dan corak pembentangan bergantung kepada kreativiti kumpulan masing-masing untuk menyampaikan hasil mereka.

Pembentangan Kumpulan 1 & Kumpulan 2

Kumpulan 3 & Kumpulan 4

Kumpulan 5

Dari pemerhatian guru, para pelajar telah bekerjasama untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka berbincang dan memikirkan cara terbaik untuk selesaikan masalah/menjawab soalan guru. Pengajaran dan pembelajaran koperatif dan kolaborasi secara tidak langsung dapat mewujudkan semangat kesalingbergantungan yang potisif di antara mereka. Mereka dapat belajar cara komunikasi berkesan, berkongsi kemahiran kepimpinan dan membina kepercayaan antara mereka untuk menjayakan projek yang diberi oleh guru.
Setiap pelajar melibatkan diri untuk menjayakan projek mereka berdasarkan kepakaran masing-masing

Semangat bersaing antara mereka telah menyebabkan mereka dapat menghasilkan projek mereka dengan begitu berkualiti dan inovatif. Setiap pelajar faham tanggungjawabnya untuk menjayakan projek mereka dengan cemerlang. Yang penting ialah mereka dapat pengalaman baru dengan melibatkan diri dalam aktiviti kumpulan dan merasa seronok untuk belajar sejarah. Terima kasih kepada pelajar 4B yang telah mempamerkan hasil kerja dengan begitu kreatif dan cemerlang

FORMAT KERJA KURSUS TINGKATAN SATU

FORMAT KERJA KURSUS TINGKATAN SATU

Berikut merupakan format umum kerja kursus sejarah Tingkatan Satu :

1.TAJUK : SEJARAH DIRI DAN KELUARGA
2.MESTI MENGGUNAKAN KERTAS SAIZ A4 SAHAJA ( PUTIH / BERWARNA)
3.BOLEH DITULIS MENGGUNAKAN TANGAN (MENGGUNAKAN PEN) ATAU DITAIP MENGGUNAKAN KOMPUTER.
4.JIKA DITAIP MESTILAH GUNA FONT = TIMES NEW ROMAN, SAIZ = 12 & LINE SPACING = 2.0
5.MESTILAH PANJANG MELEBIHI 10 MUKASURAT.
6.HASIL KERJA KURSUS MESTILAH SECARA INDIVIDU DAN ASLI.
7.MAKLUMAT PERIBADI CALON HENDAKLAH DITULIS DI HALAMAN HADAPAN LAPORAN (KERTAS WARNA KUNING)
8.BAGI PENERAPAN UNSUR PATRIOTISME, PELAJAR MESTILAH MENULIS ESEI BERDASARKAN ISI YANG DIBERI (RUJUK nota UNSUR PATRIOTISME).
9.TARIKH HANTAR KERJA KURSUS IALAH PADA ...................................

Thursday, February 10, 2011

LATIHAN BAB 2 TINGKATAN 1

BERIKUT MERUPAKAN LATIHAN YANG DISEDIAKAN OLEH CIKGU SITI ASNI, HARAP DAPAT MEMBANTU ANDA...


SEJARAH BAB 2 ZAMAN PRASEJARAH
BAHAGIAN A : Isikan tempat kosong dengan jawapan yang diberikan.

4000

menetap

Tukar barang

nomad

Fosil

bermasyarakat

zaman batu baru

adat resam

bercucuk tanam

kepingan batu

Binatang buas

sebelum sejarah

batu

besi

neolitik

artifak

logam

animisme

hasil hutan

Gelang

paleolitik

gangsa

ditulis

tembikar

Prasejarah bererti _____ (1) yang merujuk kepada zaman sebelum wujudnya tulisan. Zaman prasejarah di Malaysia boleh dibahagi kepada tiga zaman iaitu _____ (2), _____ (3) dan ____ (4). Zaman prasejarah adalah zaman terpanjang dan tiada catatan yang _____(5). Ahli arkeologi mengkaji tinggalan ____ (6) iaitu tulang manusia, binatang dan _____(7) yang diperbuat daripada batu, tembikar, kulit kerang, siput, manik dah kayu bagi menentukan perkembangan tamadun awal manusia. Pada zaman Paleolitik, manusia hidup secara _____(8). Gua dijadikan tempat perlindungan daripada matahari, hujan dan ______ (9). Mereka memburu binatang dan memungut ______ (10). Peralatan _____ (11) digunakan untuk menumbuk, memburu binatang dan mempertahan kan diri. Kepercayaan ______ (12) diamalkan. Zaman Neolitik dikenali sebagai ______13) . Masyarakat mula _____ (14) dan membina rumah. Wujudnya sistem _____(15) yang mengamalkan gotong royong dan pembahagian kerja. Mereka mula _____(16), menternak binatang dan berdagang secara _______ (17). Mereka mencipta peralatan _______(18) seperti bekas air, periuk dan belanga. Zaman Logam bermula kira-kira ______(19) tahun dahulu. Pada zaman ini manusia mula mencipta peralatan logam daripada _____(20) dan _____(21). Mereka mempunyai _____(22) dan menjalankan pengebumian menggunakan ______(23). Mereka juga telah mencipta barang kemas seperti kalung, anting-anting dan ________(24).

BAHAGIAN B: Namakan alatan mengikut kegunaannya / tempat penemuannya

1) Digunakan untuk menetak pokok dan memotong daging
Jawapan : i)____________________ ii)______________________
2) Digunakan untuk meraut dan memotong
Jawapan :____________________________
3) Digunakan untuk menggali tanah dan mengetam batu.
Jawapan :_____________________________
4) Digunakan untuk meleperkan dan menghaluskan kulit kayu.
Jawapan :___________________________
5) Ditemui di Gua Harimau, Perak pada Zaman Logam
Jawapan :_______________________
6) Ditemui di Raub, Pahang pada Zaman Logam
Jawapan :_________________________

FORMAT KERJA KURSUS TINGKATAN SATU

Berikut merupakan format umum kerja kursus sejarah Tingkatan Satu :

1.TAJUK : SEJARAH DIRI DAN KELUARGA
2.MESTI MENGGUNAKAN KERTAS SAIZ A4 SAHAJA ( PUTIH / BERWARNA)
3.BOLEH DITULIS MENGGUNAKAN TANGAN (MENGGUNAKAN PEN) ATAU DITAIP MENGGUNAKAN KOMPUTER.
4.JIKA DITAIP MESTILAH GUNA FONT = TIMES NEW ROMAN, SAIZ = 12 & LINE SPACING = 2.0
5.MESTILAH PANJANG MELEBIHI 10 MUKASURAT.
6.HASIL KERJA KURSUS MESTILAH SECARA INDIVIDU DAN ASLI.
7.MAKLUMAT PERIBADI CALON HENDAKLAH DITULIS DI HALAMAN HADAPAN LAPORAN (KERTAS WARNA KUNING)
8.BAGI PENERAPAN UNSUR PATRIOTISME, PELAJAR MESTILAH MENULIS ESEI BERDASARKAN ISI YANG DIBERI (RUJUK nota UNSUR PATRIOTISME).
9.TARIKH HANTAR KERJA KURSUS IALAH PADA ..................................