Wednesday, April 27, 2011


Kurikulum Tersembunyi

Sekiranya kita ke sekolah dengan anggapan bahawa pendidikan yang kita terima itu adalah semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan, maka anggapan itu sebenarnya adalah salah. Terdapat banyak kurikulum tersembunyi yang terdapat di sebalik semua mata pelajaran yang kita pelajari sehari hari.Mungkin kerana terlalu asyik dengan pencapaian yang bakal di perolehi dan terlalu memikirkan tentang peperiksaan maka kita terlupa mengenai 'ilmu' yang tersembunyi itu.Apa yang telah kita pelajari itu secara tidak sedar itu sebenarnya telah membantu kita dalam peperiksaan dan lebih utama ia sebenarnya membantu kita menjalani hidup kita. Misalnya, tindakan disiplin mengajar kita bahawa setiap perlakuan kesalahan yang kita lakukan itu ada akibat buruknya. Dari situ kita juga belajar bahawa apa sahaja perlakuan yang kita lakukan pasti akan ada kesan dan akibat sama ada baik mahupun buruk. Selain daripada itu, ada banyak lagi perkara tersembunyi yang kita pelajari ketika di sekolah sama ada secara langsung daripada guru ataupun secara tidak langsung daripada sumber lain. Antaranya ialah : 1. Cara-cara meramal kesan atau akibat 2. Cara-cara membaca 3. Cara-cara membezakan antara fakta dengan 'auta' 4. Cara-cara memberikan penekanan 5. Cara-cara menjadi kreatif 6. Cara-cara berkomunikasi dengan jelas 7. Cara-cara belajar 8. Cara-cara untuk kekal sihat 9. Cara-cara untuk menghargai diri sendiri 10.Cara-cara untuk hidup yang penuh bermakna Jika kita sebagai guru mengambil sedikit waktu untuk menjelaskan beberapa manfaat tersembunyi yang terdapat dalam mata pelajaran masing-masing, para pelajar mungkin lebih prihatin, teruja dan berkeinginan untuk mempelajarinya. Sekiranya kurikulum tersembunyi ini terus dibiarkan dalam keadaan tersembunyi, kita mungkin akan berhadapan dengan para pelajar yang hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata dan tidak dapat memanfaatkan mata pelajaran itu sepenuhnya.

Sunday, April 17, 2011

Mata Pelajaran Sejarah Semakin Mantap !





Mata pelajaran Sejarah menjadi subjek terawal dalam projek LMS di Negeri Johor. Program tersebut dikendalikan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor. Secara umum, program tersebut seperti program Score A yang memang telah dikenali ramai. Pada minggu lepas, sebahagian guru sejarah di Negeri Johor telah dipilih untuk membantu memantapkan program tersebut. Syabas BTPNJ dan Panel Perunding Mata pelajaran Sejarah Negeri Johor.

Saturday, April 9, 2011

MAJLIS PENTAULIAHAN PEMIMPIN KRS DAERAH PASIR GUDANG





Majlis Pentauliahan Pemimpin Tertinggi KRS Daerah Pasir Gudang telah dilaksanakan di Dewan Umar Abd Aziz di SMKA Pasir Gudang pada 9 April 2011.

Monday, April 4, 2011

Pendidikan Sejarah bukan Indoktrinasi

Pendidikan sejarah bukan indoktrinasi

Sejarah sebenarnya untuk memahami kompleksiti dalam sesebuah masyarakat atau negara. Melalui sejarah, kita boleh mengambil iktibar dan teladan daripada sesuatu peristiwa.

Banyak nilai murni yang boleh dipelajari seperti nilai kemanusiaan sejagat, semangat setia kawan, mengelak konflik dan pergaduhan atau konfrontasi.

Di samping itu, pelajar juga boleh memahami kedinamikan dalam perhubungan dan penyatuan antara kelompok.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), fakta serta asal-usul sesuatu peristiwa akan diterangkan dengan hasrat pelajar akan saling mengenali, hormat-menghormati dan bertoleransi dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham.

Malah, peranan serta sumbangan kelompok minoriti turut diajar dan sekali gus menafikan bahawa pendidikan Sejarah sebagai satu alat propaganda.

Pendekatan baharu dalam P&P juga tidak lagi memfokus kepada hafalan fakta, sebaliknya menjurus kepada nilai atau sumbangan yang diperoleh daripada sesuatu peristiwa itu.

Begitu juga dalam aspek kisah seseorang tokoh. Bukan peribadi tokoh yang ditonjolkan, tetapi wawasan, keupayaan dan kebolehannya. Sifat dan sikap positif tokoh itu yang perlu dicontohi.

Pelajar juga didedahkan dengan perhubungan diplomatik dan dasar yang melibatkan negara kita dengan negara lain. Hal ini penting agar pelajar memahami manfaat yang diperoleh hasil hubungan erat antara Malaysia dan negara lain.

Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan rakyat kita daripada membuat perkara yang boleh menjejaskan hubungan tersebut.

Justeru, langkah mewajibkan pelajar lulus Sejarah dalam SPM mulai 2013 amat tepat dan menepati aspirasi gagasan 1Malaysia.

Langkah ini pasti akan melonjak pencapaian pelajar dalam subjek itu dan paling utama mereka akan mengamalkan etika hidup yang selaras dengan Perlembagaan negara.

Tambahan pula, ada institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula mengenakan pra-syarat wajib lulus Sejarah untuk mengikuti sebarang kursus kelolaannya.

Berdasarkan statistik, prestasi akademik pelajar terbukti semakin baik jika ia diwajibkan lulus seperti subjek Bahasa Melayu yang merekodkan pencapaian lulus melebihi 90 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, subjek Sejarah pada 2010, hanya mencatat 76.4 peratus lulus di bandar dan 75.4 peratus lulus di luar bandar.