Sunday, August 15, 2010

GURU PETANG BERPRESTASI RENDAH?

1. Seorang penceramah dalam kursus yang saya hadiri berkata bahawa guru sesi petang selalu dimomokkan sebagai guru berprestasi rendah. Pada masa yang lain beliau turut mengakui bahawa sesi petang adalah tempat longgokan guru bermasalah.

2. Saya tidak tahu sama ada sudah dibuat kajian atau penyelidikan tentang hal ini sehingga sesi petang selalu dikaitkan dengan stigma negatif seperti itu. Dari mana beliau mendapat sumber ini?

3. Siapakah memulakan ungkapan penuh rendah ini kepada guru-guru sesi petang? Adakah PK Petang yang dulunya dikenali dengan Penyelia Petang? Atau adakah guru-guru petang sendiri? Atau pelajar petang? Atau ibu bapa yang mempunyai anak yang belajar di sesi petang? Tidak mungkin.

4. Atau ada di kalangan pengetua sendiri yang memomokkan hal sedemikian kerana marahkan seorang dua guru sesi petang yang tidak menunjukkan komitmen yang sepatutnya?

5. Adakah pengetua berkenaan memang sudah setkan dalam mindanya bahawa guru sesi petang memang teruk? Atau adakah dia meletakkan cabaran kepada sesi petang? Atau dia mahu berkata pagi sebenarnya jauh lebih ok daripada petang?

6. Saya harapkan bukan pengetua yang memulakan momokan seperti ini. Jika benarlah pengetua yang berkata demikian, siapakah guru petang itu bagi pandangannya. Adakah mereka daripada entiti atau segmen yang berbeza dan terpisah daripada sekolah yang beliau sendiri adalah pemimpin instruksionalnya?

7. Siapakah yang menghantar guru berkenaan ke sesi petang? Jika tahu guru itu “teruk” mengapakah dia dihantar ke sesi petang?

8. Mereka yang berkata bahawa guru sesi petang berprestasi rendah, tetapi mereka juga yang meletakkan harapan yang tinggi kepada sesi petang dengan mengatakan bahawa baik petang, baiklah pagi.

9. Ironisnya setelah mereka sendiri menolak guru itu ke sesi petang mereka memberi tekanan kepada guru-guru sesi petang bahawa anda harus menunjukkan prestasi yang baik.

10. Bukankah guru itu pernah berada terus di bawah tangan mereka? Jika mereka sendiri gagal untuk membentuk guru tersebut, bagaimana pula mereka boleh menyalahkan sesi petang jika berlaku kekurangan?

11. Sebaliknya jika guru sesi petang menunjukkan prestasi yang hebat adakah Pengetua jenis ini akan memuji PK Petang mereka dengan mengatakan anda memang hebat kerana berjaya membentuk guru seperti itu?

12. Walau apa pun alasannya, sehingga kini apa yang didakwa itu hanyalah mainan perasaan dan emosi atas tanggapan dan persepsi per se.

13. Bagi saya baik sesi petang dan sesi pagi, guru-guru ini saling lengkap melengkapi dan bantu-membantu. Tidak ada yang lebih hebat daripada yang satu lagi.

14. Yang penting ialah bagaimana Pengetua di sekolah dua sesi menangani hal ini dengan penuh bijaksana tanpa menimbulkan sentimen sesi pagi dan sesi petang dan memberikan fokus kepada suatu pihak atau suatu sesi sahaja.

15. Saya tetap melihat kesalahan dan kelemahan boleh datang daripada sesiapa sahaja, baik daripada guru sesi pagi mahupun guru sesi petang. Begitu juga kelebihan dan keistimewaan, boleh ada pada sesiapa sahaja.

16. Baik anda guru pagi atau petang, anda patut disibukkan dengan urusan menggali potensi pelajar daripada terbawa-bawa dengan sikap mencari salah dan kelemahan orang lain.

17. Sebagai PK Petang saya berterima kasih kepada guru-guru saya dan saya ingin katakan kepada mereka bahawa anda memang hebat sebab anda penyabar dan berjiwa keibuan, jika tidak, anda tidak akan bertahan di sesi petang yang memang banyak menduga.

Dipetik dari laman Cikgu Bashid :http://gurubashid.com/blog/pengurusan/guru-sesi-petang-berprestasi-rendah.html

No comments:

Post a Comment