Sunday, July 25, 2010

PETUA MEMIKAT HATI GURU

PETUA MEMIKAT HATI GURU



Petua 1

Petua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?

Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.

Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.

Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?



Guru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini. (Jika anda rasa kurang yakin bahawa seorang guru boleh mengesan pelajar gelas penuh ini, cuba tanya kepada mana-mana guru atau trainer yang anda kenal. ? )

Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.

Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:

Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda

No comments:

Post a Comment