Tuesday, November 22, 2011

Wanita Ada Sejarahnya Sendiri !



Sepanjang sejarah tamaddun manusia, kaum wanita selalu menjadi "bahan" diskriminasi dan penginayaan.

Sebagai contoh, di era tamaddun Roman, wanita dianggap sebagai hamba kepada orang lelaki dan tidak mempunyai apa-apa hak.

Undang-undang India kuno pula, seorang balu wajar menamatkan riwayatnya dengan membakar diri bersama mayat suaminya.

Di semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam, suatu yang memalukan jika melahirkan anak perempuan, dan tidak salah untuk membunuh anak-anak perempuan.

Dalam satu persidangan pada tahun 1586 A.D di Peranchis, suatu perbincangan diadakan bagi menentukan samada wanita adalah manusia atau tidak.

Di England, hingga tahun 1850 wanita dianggap sebagai bukan warganegara, dan sehingga tahun 1182 wanita masih tidak boleh memiliki harta.

Setengah bahasa didunia ini menggunakan gantinama yang berbeza untuk wanita, sebagai contoh dalam Bahasa Inggeris, ‘He’, ‘His’ dan ‘Him’ merujuk kepada lelaki dan ‘She’, ‘Her’ dan ‘Hers’ bagi wanita. Dalam Bahasa Arab pula, ‘Hu’ merujuk kepada lelaki dan ‘Ha’ untuk wanita.

Di setengah tempat di rantau ini, golongan wanita sahaja dibenarkan mempusakai harta, dan mungkin masih diamalkan hingga ke hari ini(adat Pepatih)

Di negeri Kelantan pula wanita Melayu sangat aktif dalam dunia perniagaan dan mempunyai kuasa ekonomi yang disegani.

Di negara bernama Nigeria, adalah ganjil kalau seorang lelaki itu hanya mempunyai seorang isteri sahaja. Tetapi di Negara kita, seperti melakukan 'kesalahan' jika seorang suami ingin berkahwin lagi satu.

Selagi ada wanita, sejarah terus tercipta ...

Tuesday, November 8, 2011

SEJARAH OH SEJARAH !


1 KETIKA subjek lain boleh diletakkan harapannya kepada keupayaan seseorang pelajar, subjek sejarah masih bergantung kepada kekuatan guru yang mengajarkannya. Atau dalam erti kata lain faktor guru masih kuat mempengaruhi minat pelajar terhadap subjek ini.

2 Sejarah yang memang sudah mati, menjadi hidup dan segar di tangan guru sejarah yang berkebolehan. Tetapi bilangan mereka yang sebegitu tidak ramai.

3 Realitinya, sejarah selalu sahaja menjadi subjek yang paling tidak popular di sekolah. Mujurlah subjek ini diwajibkan pengambilannya, jika tidak ramai pelajar yang akan mengetepikannya sama sekali.

4 Bagi mereka, sejarah adalah subjek yang membosankan. Cikgu-cikgu yang mengajarkan subjek ini pula dikatakan kurang ketrampilan dalam menyampaikannya; begitu kaku dan terikat dengan satu cara.

5 Mereka selalu dilihat memberi kuliah dan syarahan sejarah, bukan pendidikan dan penghayatan sejarah. ”Bosan sungguh”, kata pelajar.

6 Bayangkan mereka sendiri kurang berminat dengan subjek ini, tiba-tiba mereka disuruh mengajarkannya kepada orang lain. Wah memang suatu bebanan dan menyakitkan.

7 Sebab itu saya pernah memberitahu guru-guru sejarah saya bahawa guru sejarah harus berminat dengan subjek ini sebelum mereka mengajarkannya.

8 Mula-mula minat dahulu, kemudian baru ada penghayatan. Kita tidak mahu guru sejarah bercakap dari hati yang mati .

9 Perlu ada hubungan jiwa antara mereka sendiri dengan pelajar mereka supaya pengajaran dan pembelajaran subjek ini benar-benar dirasakan kemanisannya.

10 Pada masa yang sama hubungan jiwa antara guru sejarah dengan peristiwa sejarah juga perlu ada. Seolah-olah guru itu sendiri menjadi salah satu watak yang ada pada zaman tersebut dan turut mengalami peristiwa sebenar.

11 Jika jiwa sejarah itu sendiri tidak ada, bagaimana kita mengharapkan pelajar berminat dengan subjek ini.?

12 Jika berlaku juga kita seolah-olah memaksa pelajar kita pergi ke suatu zaman yang begitu asing dengan diri mereka. Mereka hanya touch and go, tetapi langsung tak merasai apa-apa.

Hakcipta Abd Bashid Harun