Tuesday, October 19, 2010

Tentera Jepun kena 'dera'


TENTERA Jepun memang kejam. Mereka memancung kepala, menyuruh minum air sabun, menikam dengan bayonet, mengerah menjadi buruh paksa dan membakar hidup-hidup sesuka hati.

Itu sudah biasa kita dengar kala berbicara tentang keganasan tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu lebih enam dekad lalu. Sehinggakan frasa 'penampar Jepun' pun masih melekat hingga hari ini.

Namun, sekejam-kejam tentera Jepun, ada juga dalam kalangan mereka yang pengsan apabila giliran mereka pula 'didera'.

Cerita sejarahwan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, apabila Jepun mengaku kalah dan tentera British kembali ke Tanah Melayu, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa membersihkan kawasan bandar dan ada juga yang dihukum berlari.

Di Teluk Intan, Perak misalnya, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa oleh tentera British untuk mengutip sampah di bandar itu dan diarah berlari sejauh 42 kilometer dari Teluk Intan ke Bidor.

"Masa itu umur saya lapan tahun. Tentera Jepun sudah mengaku kalah dan akan berundur.

"Sementara menunggu detik untuk dibawa pulang ke tanah air mereka, tentera British telah 'mengenakan' mereka.

"Saya nampak puluhan tentera Jepun dipaksa kutip sampah dan berlari begitu jauh. Sampai ada yang pengsan.

"Mereka yang pengsan kemudian dicampak ke dalam lori," kata Kay Kim, 73, kepada Jurnal saat diminta mengimbas peristiwa Jepun mengaku kalah pada 1945.

September ini, genap 65 tahun berakhirnya derita penduduk Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun dan tamatnya polemik militari global, Perang Dunia Kedua amnya.


UPACARA serah kuasa Jepun kepada British yang berlangsung di Victoria Institution, Kuala Lumpur 65 tahun lalu.

Kapal Amerika Syarikat, USS Missouri menjadi saksi usainya perang itu apabila Jepun memeterai dokumen mengaku kalah di atas kapal itu pada 2 September 1945.

Victoria Institution

Gugurnya bom atom yang meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki beberapa minggu sebelum itu memberi tekanan kepada Negara Matahari Terbit itu dan mendorong kepada kekalahannya.

Di Tanah Melayu, Jepun mengaku kalah secara rasminya pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Upacara yang sama turut berlangsung di Singapura.

Sambung Kay Kim, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu kebanyakannya kanak-kanak berkumpul di jalanan untuk melihat tentera Jepun membersihkan bandar.

Tentera-tentera British pula yang kebanyakannya dari India mengagih-ngagihkan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak.

"Seluruh Tanah Melayu menyambut berita kekalahan Jepun dan kembalinya British dengan jiwa yang gembira.

"Ini kerana, selain menderita hidup dijajah Jepun, hakikat bahawa Jepun tidak melakukan apa-apa untuk kemajuan Tanah Melayu cukup mengecewakan.


BANDAR Hiroshima yang musnah dibom oleh tentera Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1945.

"Ekonomi negara ini sangat teruk semasa Jepun menjajah sehingga harga barang terlampau mahal.

"Duit Jepun iaitu 'duit pisang' juga seperti tidak ada nilai kerana ia dicetak sesuka hati," katanya. Kay Kim dilahirkan di Kampar dan dibesarkan di Teluk Intan.

Bercerita tentang tentera Jepun, Kay Kim mengakui kekejaman mereka. Beliau dan keluarga bahkan pernah melarikan ke dalam hutan untuk menghindari tentera Jepun.

Beliau juga menyifatkan tentera Jepun kuat, menggunakan peralatan senjata setanding Barat, berstrategi rapi dan setia kepada maharaja.

Pedang

"Mereka mungkin kejam dan kasar kerana mereka tentera. Orang Jepun yang datang ke negara kita bukan orang awam.

"Mereka kasar dan ganas kerana mereka memang dilatih sebagai tentera.

"Mereka juga kuat. Kalau mereka tak kuat macam mana mereka boleh tenggelamkan dua kapal perang British, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse? Mereka menakluk negara kita hanya dalam masa dua bulan.

"Apabila Jepun kalah dan maharaja Jepun arahkan mereka serah kalah, mereka mengaku kalah atau bunuh diri dengan melakukan harakiri iaitu menikam perut sendiri dengan pedang samurai mereka," kata Kay Kim.

No comments:

Post a Comment