Friday, February 25, 2011

TIADA YANG REMEH JIKA MELIBATKAN KESELAMATAN PELAJAR


Ambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah - maksudnya adakah pihak sekolah terutama pengetuanya telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang mencukupi, memadai dan dapat difahami dengan jelas oleh semua warga sekolah dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan di sekolah.

Ini diukur daripada sejauh manakah kesungguhan dan kekerapan pihak sekolah mewar-warkan aspek keselamatan di sekolah kepada pelajar-pelajarnya; memberi peringatan atau pemberitahuan melalui dokumen tertentu seperti surat rasmi kepada ibu bapa, notis-notis yang dilekatkan di papan kenyataan, pengumuman-pengumuman; menandakan atau melabelkan kawasan yang berbahaya dan dijangka boleh membahayakan di dalam kawasan sekolah dengan label yang khas dan boleh dilihat; mengelakkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pelajar seperti mencantas ranting dan dahan pokok yang condong dan reput; membuang semua ranting dan dahan pokok yang kering; menebang pokok yang condong; memilih jenis simen/jubin yang kesat; mengesan kerosakan pada peralatan elektrik dan premis bangunan dan memperbaikinya dengan segera.

Jika anda sebagai guru subjek pula, anda hendaklah memastikan murid-murid diberi arahan yang mencukupi dan arahan itu pula dapat difahami sebelum sesuatu aktiviti dilakukan sama ada di dalam kelas atau di luar kelas. Begitu juga sebelum sesuatu aktiviti kokurikulum dijalankan sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah seperti mengadakan lawatan dan rombongan; arahan yang mencukupi, surat kebenaran yang ditandatangani oleh ibu bapa, peralatan keselamatan yang sesuai dan guru yang memantau mesti diberi perhatian. Guru-guru hendaklah sentiasa diingatkan tentang aspek keselamatan ini dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh mereka.

Pengetua hendaklah sentiasa mengingatkan guru-guru bahawa sesuatu yang dianggap remeh sebelumnya dan tidak boleh dijangka boleh sahaja berlaku. Tiadasuatu pun yang mustahil jika ia membabitkan keselamatan pelajar. Sebagai contoh meja dan kerusi pada asalnya bukan item yang membahayakan, tetapi jika kaki meja dan kerusi itu reput, itu memang membahayakan.Sebab itu aspek keselamatan pelajar tidak boleh dianggap kecil. Sebagai contoh jika berlaku pergaduhan atau kecederaan murid dalam kelas yang anda tinggalkan hanya dalam tempoh seminit dua, anda sebagai guru subjek pada waktu itu boleh disabitkan kesalahan jika ada dakwaan terhadap anda jika tidak diambil langkah-langkah pencegahan sebelum itu seperti meminta bantuan guru di kelas sebelah memantau kelas sementara ketiadaan anda, dan anda sendiri telah memaklumkan murid-murid anda bahawa anda hendak ke luar (sebut destinasi sebenar anda) dan memberi arahan, nasihat dan kerja yang mencukupi.

Apa yang saya utarakan di sini hanyalah sebahagian contoh tindakan pencegahan yang munasabah yang boleh diambil oleh para guru. Masih banyak lagi tindakan yang perlu diambil dan ini hanya boleh diketahui apabila seseorang guru itu berusaha menjangka apakah yang akan berlaku.Maksudnya di sini sebahagian kerja Pengetua dan guru adalah menjangka atau meramal apa yang akan berlaku daripada sesuatu tindakanyang dilakukan.
Dipetik dari Blog Cikgu Bashid

No comments:

Post a Comment