Thursday, June 17, 2010

Tajuk Kursus yang Ofensif

Sekali baca, bunyi tajuk kursus "Meningkatkan Kecemerlangan Pekerja" macam positif, macam bagus, macam menarik, kerana ada 2 perkataan positif dalam tajuk itu, yakni "meningkatkan" dan "kecemerlangan".

Dua kali baca, di sebalik tajuk itu wujud prasangka buruk, yakni bahawa pekerja-pekerja itu sekarang tidak cemerlang, alias bukan pekerja yang baik, yang bagus, makanya mereka perlu diberi kursus.

Penganjur mungkin menyukai tajuk kursus seperti itu, tetapi para peserta belum tentu suka menghadirinya kerana tajuk itu menunjukkan pihak yang menganjurkannya menuduh mereka itu bukan pekerja cemerlang.

Mencipta tajuk-tajuk kursus komersial yang positif adalah mudah, yakni dengan memfokuskan perhatian kepada skill yang akan diajarkan kepada peserta.

Contoh:

"Kursus Andaman Busana Tradisional Melayu"

"Bengkel Jahitan Langsir"

"Kursus Lukisan Gaya Cina"

"Kursus Mengawal Kanak-kanak Buas"

Elakkan apa jua bentuk katasifat atau 'adjektif'. Perkataan 'cemerlang', 'gemilang', 'terbilang' dan banyak lagi adalah katasifat.

Sesuatu perkataan katasifat itu mungkin positif, tetapi ia mencipta kesan negatif apabila digunakan dalam tajuk kursus.

Contoh-contoh katasifat dalam tajuk kursus yang mencipta kesan negatif:

"Kursus Remaja Gemilang": Tajuk ini tidak memberi maklumat apa yang akan dipelajari oleh peserta kursus itu nanti.

"Bengkel Keusahawanan Cemerlang": Tajuk ini tidak memberi maklumat apa yang akan dipelajari oleh peserta kursus itu nanti, malah menuduh usahawan yang datang menghadirinya bukan usahawan yang cemerlang.

"Kursus Pembinaan Budaya Kerja Positif": Tajuk ini tidak memberi maklumat apa yang akan dipelajari oleh peserta kursus itu nanti, malah menuduh para peserta kursus itu mengamalkan budaya kerja negatif.

No comments:

Post a Comment